Pemergian Abang Tersayang ke Rahmatullah


Lebih kurang 2 minggu dah aku tak update blog ni, agak sibuk sekarang ni sebab aku dah mula semester baru. 10 Julai lalu, aku dah kembali ke Melaka untuk meneruskan pengajian, namun, selepas 5 hari di sini, aku dikejutkan dengan panggilan telefon daripada kakak aku bahawa abang aku dah meninggal dunia. Ini adalah kali pertama aku merasai keperitan suatu perpisahan yang amat menyedihkan. Aku tak pernah kehilangan ahli keluarga terdekat sebelum ni. Dan aku tak pernah menyangka perkara sebegini akan berlaku.

Abang aku dilahirkan pada 10 Mac 1983. Dia adalah anak keempat daripada 5 adik beradik. Dari kecil, aku dibesarkan bersamanya. Kemana sahaja dia pergi, mak aku selalu suruh dia bawak aku sekali. Dia yang ajar aku berbasikal dan berenang. Masa kecik-kecik dulu, kami selalu berlumba basikal. Dah tentu la aku kalah.. dia kan abang? Pagi – pagi kalau nak ke sekolah, dia yang hantar aku. Dia tamat persekolahan tingkatan 5 dalam sijil kemahiran Malaysia peringkat kedua. Dalam semua adik-beradik, dia je yang malas belajar sebab tu dia amik sijil kemahiran. Selepas habis sekolah, dia terus bekerja sebagai juruteknik di Pulau Pinang. Bayangkan apa yang akan dibuat oleh remaja berusia 18 tahun dengan wang RM2000 sebulan? Percaturan keluarga aku membenarkan abang aku bekerja pada usia yang terlalu muda membawa padah. Arwah terlibat dalam najis dadah. Mulanya menjual, seterusnya mencuba sendiri. Pada usia yang muda, gaji bulanan sekitar RM2000 ditambah pula dengan gaji sampingan sebagai ‘pusher’, sememangnya dia sangat mewah. Tiap bulan dia akan kirimkan wang kepada kedua orang tua. Parent aku sangat berbangga dengan arwah ketika itu. Walaupun dia tidak bijak dalam pelajaran, namun dia mempunyai kelebihan dalam sektor engineering.

Keadaan bertambah rumit apabila dia sendiri menjadi ketagihan sehingga terpaksa meletak jawatan dan terus hanyut dalam dunia dadah. Tiada lagi kiriman wang kepada keluarga, sebaliknya arwah pulang ke rumah dan menjadi penagih. Beliau tak mengharapkan sesen pun wang kedua orang tua malah dia yang menjual dan selebihnya digunakan sendiri. Aku boleh bayangkan bertapa kecewanya kedua orang ibu bapaku. Kadang-kadang, aku menangis sebab malu dengan perbuatan abang. Di sekolah pun, kawan-kawan mencaci aku sebab abang aku penagih. Aku sangat benci arwah pada masa tu. Apabila keadaan dah tak terkawal, family aku bertekad untuk laporkan kepada polis. Yang aku ingat, hari isnin sebaik saja aku pulang dari sekolah, aku masuk ke bilik. Bilik aku yang berkongsi dengan arwah dah bersepah. Mak aku cakap, polis datang geledah dan dah bawa abang ke lokap. Setelah 2 bulan di lokap untuk dibicarakan, abang dihantar ke Pusat Serenti Sungai Petani. Setiap bulan, kami sekeluarga akan melawat arwah. Di pisat serenti, abang dijaga dengan baik, berpakaian bersih, warden cakap, abang aku dah jadi ketua kawad. Kulit yang dahulunya hitam dah putih. Mak aku sangat senang hati melihat abang aku di pusat serenti. Setelah 2 tahun, abang dibebaskan dengan syarat melapor diri setiap bulan di balai polis terdekat. Setelah dibebaskan, arwah hanya duduk di rumah dan membantu orang tua berkebun. Kemudian, aku dah habis sekolah. Aku Tolong arwah apply untuk melanjutkan pelajaran. Alhamdulillah, dia dapat melanjutkan pelajaran di ILP Ipoh.

Sudah 3 tahun arwah meninggalkan najis dadah dan semuanya kembali normal. Arwah menamatkan pengajian dengan cemerlang dan semua pensyarah mengenali beliau kerana kehebatan mengendali mesin CNC. Banyak peluang kerjaya yang diperoleh. Kemudia, arwah bekerja kembali di tempat kerja yang ditinggalkan 3 tahun lalu. Semuanya stabil dan seterusnya, dikahwinkan dengan seorang yatim piatu yang berasal dari Jengka, Pahang. Mereka berkenalan dari internet. Katenye, bakal isterinya tu baik, rajin dan peramah. Orang tua aku pun ape lagi, setuju je la. Tujuan sebenar keliarga aku nikahkan abang adalah untuk mencari seorang wanita di belakangnya dalam meneruskan kehidupan normal. Mak aku inginkan seorang wanita yang dapat membimbing abang untuk menjadi insan berguna. Family aku pon dah terus terang yang abang aku ni bekas penagih. Dan dia sanggup terima walau apa pun. Namun, setelah setahun berkahwin, segalanya terbongkar. Isteri yang dianggap dapat membimbing abang sebaliknya menambahkan beban. Tak mahu bekerja, malas memasak, tak sembahyang dan hidup semerti mak datin. Pernak kakak ipar aku memarahi isteri abang, sebabnya kakak ipar aku berasal daripada keluarga berada berpangkat Dato’ dan menjalani kehidupan seperti orang biasa kerana faham tanggung jawab suami untuk mencari rezeki. Kalau seorang bekerja zaman sekarang mana cukup.

Kemudian abang berhenti bekerja dan pulang ke kampung kerana tak mampu nak menyara isteri yang high demand. Di kampung, mak aku ingat bila menantu balik ada di kampung senang la kerjanya, boleh tolong memasak, cuci pinggan dan kemaskan rumah. Tapi semua tu tak berlaku. Isteri abang aku tu hidup macam mak datin kat rumah. Abang aku pula bekerja dengan bapa aku. Gaji yang diberi tak seberapa kerana mereka dah berada di kampung dan bakal melahirkan anak. Bayangkan, satu hari tu, mak aku balik dari kerja tengok dapur tak berasap. Mak aku pun tanya la kepada menantu kesayangannya tu, “Ain tak masak nasi ke?” tetibe puntu bilik dihempap dan kakak ipar yang mithali aku tu tak keluar dari bilik seharian. Mak aku tak reti nak marah-marah. Lagipun mak aku tak nak jadi salah faham. Lama-kelamaan, selisih faham antara abang dan isteri bertambah rumit, tak habis-habis cacian keluar dari mulut isterinya. Abang aku sayangkan isterinya dan tak pernah meninggikan suara. Walaupun abang tahu isterinya mula ber SMS dengan kekasih lama. Sebab abang aku tahu dia bekas penagih dan bukan orang yang baik. Setelah melahirkan anak, Isterinya meminta cerai dan alasannya abang adalah seorang bekas penagih.

Isterinya melarikan diri ke rumah saudaranya di perlis. Langsung tak hiraukan anak yang berusia tak sampai sebulan. Aku tak tahu la manusia jenis apa yang sanggup tinggalkan anak yang masih perlukan susuan. Seterusnya, abang menerima berpuluh-puluh SMS dalam masa sehari daripada isteri yang menuntut untuk bercerai. Sebulan berikutnya, mereka bercerai dan anaknya ditinggalkan untuk family aku besarkan.

Aku tahu, abang ceraikan isterinya kerana terpaksa. Aku tahu dia sangat sayangkan isterinya. Oleh sebab tekanan perasaan, abang aku mula terjebak dengan dadah selepas 6 tahun berhenti.Macam-macam family aku lakukan tapi macam tak berhasil. Tahun 2010, abang dah semakin teruk. badan dah kurus, dah macam mayat hidup. Mak aku tak henti-henti doakan supaya abang aku sembuh. Namun keadaan hanya bertambah teruk. Dalam keadaannya yang semakin teruk tu, abang tak pernah abaikan tanggung jawab sebagai seorang ayah. Anaknya Haris Abid diberi kasih sayang sepenuhnya. Dibelinya mainan, pakaian dan kelengkapan secukupnya. Petang-petang, selalunya abang akan bawa anaknya berjalan-jalan. Kadang-kadang mak aku marah sebab takut abang bawak anaknye ke sarang penagih. Namun, tak pernah diendahkan. Bila aku pulang dari melaka 3 bulan lepas, aku sedih melihat keadaan abang aku. Aku dah boleh rasakan abang aku tak mungkin hidup lebih lama.

Aku selalu memarahi  abang. Kadang-kadang aku dengan mak pergi cari abang di sarang penagih. Bawak dia balik lepas tu aku marah abang. Aku cuma nak dia berubah, aku nak abang aku seperti di zaman sekolah dulu. Aku nak abang aku yang hilang tu dikembalikan walau apa cara sekalipun. Namun, aku sebagai adik terpaksa mengalah, kerana rasa hormat terhadap abang aku masih wujud. Pada suatu hari, ada kenduri kahwin berdekatan dengan rumah aku. Kebetulan ada orang main silat. Abang aku dengan pantas balik rumah untuk ambil anaknya dan terus duduk di barisan hadapan. Aku boleh rasakan bertapa sayangnya dia kepada anaknya. Sehari sebelum aku pulang ke melaka, aku nak masuk ke bilik air, aku buka pintu dan nampak abang aku tengah proses dadah. Aku marah dia sangat-sangat dan dia hanya diam dan tak berkata apa-apa. Selalunya dia akan membalas. Kali ni, aku rasa kelainan. Dia hanya senyum sinis, dan tunduk malu. Aku pergi dengan hati yang amat sedih melihat keadaan abang.

Setelah 5 hari di melaka, aku dapat panggilan mengatakan abang aku sudah pergi untuk selama-malanya. Aku kaku, tak tahu nak buat apa, lagipun aku nak balik jauh. Tanpa berfikir panjang, aku ambil sweater dan minta budak rumah aku hantarkan ke Melaka Sentral. Dalam perjalanan ke Melaka sentral, aku hanya fikirkan abang. Aku isi minyak malam tu, minyak dah berhenti namun nozel dibiarkan di tangki lagi. Aku dah tak boleh nak fikir, fikiran aku bercelaru. Nasib baik, ada bas terakhir di Melaka Sentral Menuju ke Penang.

Pada mulanya, aku hanya terdiam namun bila dah dekat sampai rumah, mata aku mula berair, aku sebak bila teringatkan zaman kanak-kanak aku bersama abang.

Setelah sampai di rumah, aku hanya tersenyum dengan pelawat yang datang. Semua orang pandang aku macam tak pernah nampak orang. Aku terus menuju ke bilik abang. Aku lihat jasad abang yang tak bernyawa  tersenyum dalam selimut. Mama cakap “ tak sayang abang ke? Cium abang nanti dia nak pergi dah”.. aku kucup dahi abang buat kali terakhir. Dalam hati, aku tak dapat nak tahan sebak. Aku terus masuk ke bilik, menangis sepuas-puasnya. Pada hari tu, aku buat pertama kalinya menguruskan jenazah. Aku tolong mandikan abang. Aku ikut van yang bawa jenazah sampai ke masjid. Setelah disembahyang, aku ke kubur. Aku yang angkat keranda abang masuk ke kubur. Aku yang uruskan pengebumian abang. Semasa hampir kerandanya dilitupi tanah, aku sekali lagi sebak, aku hanya bertahan.. Aku tunggu di perkuburan sehingga semua orang beredar. Abang dah pergi untuk selama-lamanya. Pada malam tu, aku tidur di bilik abang, di katil yang menempatkan jenazahnya. Aku ratapi kembali gambar-gambar zaman kanak-kanak bersamanya. Aku sangat berharap agar dapat kembali ke zaman kanak-kanak untuk bersama abang lagi. Sampai sekarang pun aku masih menangis mengenangkan abang. Kenapa dia ditakdirkan sebegini? Orang tak akan faham bagaimana rasanya menjadi seorang penagih, Semua orang tahu mencaci bukannya membantu. Walau seteruk manapun, dia tetap abang aku, walau sejijik mana pun dia tetap abang aku. Walaupun orang membenci namun aku faham, dia juga manusia biasa dan tak terlepas dari melakukan kesilapan. Aku tahu, jauh di sudut hati abang, dia nak berubah namun dia tak mampu melakukannya seorang diri.

Dari kecik abang tak pernah marah aku, sebaliknya aku yang selalu memarahi dia. Kalau dia ada duit, dia akan belikan baju raya untuk aku. Pernah dulu, handycam dan hanphone aku dicuri, abang pergi belasah pencuri tu. Abang tak pernah biarkan aku susah. Banyak pengorbanan abang untuk aku, tapi selama ni aku tak pernah hargai. Kalau abang hidup lagi, aku tak nak buat kesilapan lagi. Benda yang aku tak dapat lupakan adalah, aku minat fotografi dan laburkan beribu wang ringgit namun sekeping gambar abang aku pun tak sempat ambil… Alfatihah untuk abang tersayang…

You Might Also Like :

Share

Related posts:

  1. Mat Rempit Vs Mat Kereta
  2. Selamat Datang
  3. Dari Hati Seorang Perokok
  4. Akhirnya Adsense Earnings Mencapai $100
  5. Perempuan Melayu Bodoh Sangat Ke?
You can leave a response, or trackback from your own site.

4 Responses to “Pemergian Abang Tersayang ke Rahmatullah”

  1. Adi says:

    Al ftihah……”sesungguhnya Allah Lebih syg hambanye Dari kami Manusia biasa…..

  2. farha says:

    takziah. turut berdukacita. semoga arwah ditempatkan dikalangan mereka yang dikasihiNYA. InsyaALLAH..
    i know how u feel. i just lost a brother too..

    Al-Fatihah..

  3. dakkos says:

    takziah utk ko n keluarga, doa2kn lah slalu kat arwah abang ko …

  4. azreen amran says:

    takziah untuk family u..
    anyway,, hati i sgt sebak baca entry u..
    al-fatihah utk abg u..
    semoga rohnya dicucuri rahmat.
    amin..
    azreen amran recently posted..kalau gaji aku cuma RM3000

Leave a Reply

CommentLuv badge
Powered by WordPress

Slider by webdesign